masa mengoyak dimensi kita
tanpa izin
tanpa belas kasihan.
masa cemburu
maka kita berlumba
mengejar sesuatu
untuk memenuhi kehendak.
namun masa
sentiasa menang,
rakus
kenyang dengan kehilangan.
akan ia ragut
segalanya
yang berharga.
harta menipis,
kesihatan yang merosot,
kelapangan yang disempitkan,
usia menua.
hingga akhirnya
ajal
berjarak satu langkah.
jika leka, kita rugi.
jika lalai, kita ketinggalan.
jika tidak menghargai, kita menyesal.
perlumbaan ini
tidak memerdekakan
malah ia mematahkan.
melainkan kau berharta,
masa boleh dibeli
dengan keringat orang lain.
harta ditambah
melalui tapak kaki yang memijak,
rasuah yang berleluasa,
dan tubuh-tubuh miskin
dijadikan permaidani.
sakit yang melanda,
dapat kau rawati
kerana adanya pangkat dan nama,
keutamaan diberi.
yang tiada nama,
belajar erti menunggu
hingga nyawa gugur sayu.
kelapangan dibeli,
dengan harga kemalasan
goyang kaki,
beratur.
sementara di sebalik tabir,
berhempas pulas
demi memenuhi kehendak
kau yang berduit.
wajah berkedut,
ialah peta masa yang jujur.
dapat kau padam dengan jarum,
lalu menyebut ianya genetik.
apalah gunanya semua itu
jika jiwa kekal rasa kosong?
apalah gunanya semua itu
jika kita bertemu ajal jua?
saat nyawa ditarik,
barulah kau faham,
masa kejam bukan kerana membunuh,
tetapi kerana
membiarkan kau terlupa
dan terus terleka dengan arusnya.
ketika itu,
penyesalan tiada erti
kerana masa
tidak boleh berputar kembali
hanya menjadi sebuah layar
yang bermain di minda
sebelum roh meninggalkan jasad.
No comments:
Post a Comment