21.12.25

bukan maaf yang dipinta

Kadang-kala jiwa remuk dek kecewa manusia,

Kata mereka, kita bukanlah tuhan,

Semua insan pasti tersalah langkah,

Maka kemaafan dianggap kewajipan.

 

Namun melupakan bukan semudah bicara,

Kata-katamu kekal terpahat,

Menikam rasa, 

Berulang tayang dalam benak jiwa,

Seperti layar perak tanpa noktah akhirnya.

 

Apa yang aku pinta bukanlah kemaafan,

Tetapi kesedaran yang lahir daripada beban,

Biarlah jiwamu sarat penyesalan,

Dan semoga takdir kita tidak lagi bersilangan.

19.12.25

penantian yang mematikan

Unggas berbunyi di malam yang sepi,

Membunuh keheningan malam yang menikam,

Kata-kata cinta engkau bisikkan ke telinga,

Dan aku kau ikat dengan janji,

Janji yang kau ungkapkan dengan penuh tulus, 

Selamanya terpahat di dalam benak sanubari,

Maka bersumpahlah aku untuk menunggumu,

Agar kita boleh membina kehidupan,

Tidak akan aku rasa perih,

Kekal aku tunggu di atas pangkin,

Untuk kau datang memetik, 

Sehingga larut malam menyinggah,

bulan dan bintang menjadi peneman,

Seperti pinang dibelah dua,

Menghiasi langit yang gelap. 

 

Aku menantimu dengan penuh yakin,

Teguh berpegang pada kata-kata dan janjimu, 

Setianya aku hingga wajah ditanda usia,

Lembut tanganku yang dulu mengusap rambutmu,

Kini bertompok dan kusam dimamah usia,

Hitam dan lebatnya rambutku dulu,

Kini beruban dan menipis,

Badanku yang dulu kau puja dan sanjung,

Kini hampir menyembah bumi,

Kakiku dulu megah berdiri,

Bangga menapak di atas tanah memberi aku kudrat,

Kini aku berkaki tiga tidak lagi larat untuk berjalan.


Pangkin yang dulu tempat aku singgah,

Untuk melepas rindu dan mengeluh kesah,

Tiadanya lagi kudrat untuk aku menapak,

Kerusi malas di tepi jendela kini menjadi tujuan.

 

Aku merenung,

Penantian ini telah sampai ke penghujung.


Sungguh kata-katamu itu jauh panggang dari api,

Langsung tiada belas kasihan,

Luka yang kau tinggalkan,

Seperti dalamnya dasar lautan,

Mengacau jiwaku bagai ombak di pantai,

Yang tidak berhenti memukul batu-batuan.

 

Dengan ini aku berserah,

Permainan ini telah aku kalah,

Izinkan aku mengundur diri,

Kerana kini nafasku berhenti. 

ringkasan curahan hati dan pengharapan untuk tahun baru

tahun ni banyak benda berlaku. macam tu saja masa berlalu. tahun ni juga lah aku dah habis buat projek akhir tahun, tulis tesis, buat pembentangan viva dan juga buat latihan industri. semua benda ni, aku lalui dengan rasa takut dan penat. mula-mula hampir nak putus asa, tapi alhamdulillah, aku berjaya sampai ke garisan penamat. walaupun hasil yang aku dapat tidaklah setanding orang lain, tapi cukuplah untuk aku terus mara ke hadapan. apa yang penting, aku juga dah usaha dan buat sebaik mungkin. lagipun, rezeki tak pernah salah alamat dan inilah rezeki yang aku dapat. maka, tidak perlu untuk aku berkeluh kesah. itu hanya akan menunjukkan yang aku tak reti bersyukur. 

tahun ni juga, aku belajar untuk beredar daripada sebuah persahabatan yang tak dapat menjaminkan kententeraman. tak perlu untuk aku ungkit atau bercakap tentang perkara yang sudah lepas. cukuplah aku dah belajar dari kesilapan dia dan juga aku. bagi aku, tak perlu lagi untuk masuk campur dengan orang dari masa lalu sebab dengan berbuat demikian, selamanya memori menghantui dan aku hanya akan mendapat kekecewaan. jadi, dah tak ada sebab yang kukuh untuk kembali berkawan. 

kadang-kala, kita kena tinggalkan masa lalu untuk maju ke hadapan.

walaupun sukar.  

jadi, untuk tahun hadapan, apa yang aku harapkan dari diri sendiri adalah untuk buat sesuatu perkara dengan penuh rasa takut. sebab semuanya ada tarikh luput.  

 

 

Watermark Made with love by Fina
Click me! CLICK ME! Home Decoration Decoration